DYTM Tuanku Yang DiPertua
DYTM Tuanku Yang DiPertua
- Titah Perutusan DYTM Tuanku Yang DiPertua
- DYTM Tuanku Yang DiPertua
- DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis

Daulat Tuanku
Titah Perutusan DYTM Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
،بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للّٰهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلَامُ عَلىَ اَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِناَ وَمَوْلٰنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ، اَمَّا بَعْدُ
Dalam kepesatan ledakan teknologi informasi dan maklumat masa kini, MAIPs haruslah menzahirkan posisinya di tempat yang tepat, agar ia relevan dan mengikut peredaran zaman.
MAIPs juga haruslah mengekalkan semangat penubuhannya seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis antaranya seperti berikut:
“Maka hendaklah ada suatu badan bernama ‘Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis’ untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis”.
Adalah diharapkan, Portal Rasmi MAlPs ini dapat memberikan gambaran awal yang sahih berkaitan MAIPs sebagai sebuah organisasi yang unggul dan cemerlang.
“MAIPs: Menjunjung Syiar, Memaju Ummah”
DYTM TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
Raja Muda Perlis
Termaktub di Istana Arau pada Jumaat, 11 Oktober 2019 bersamaan 12 Saffar 1441H

Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
D.K., S.P.M.P., P.A.T.Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia dan Honorary Doctorate in Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diputerakan di Hospital Besar Alor Setar, Kedah Darul Aman pada 30 Disember 1967. Baginda merupakan anakanda sulung kepada DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis dan DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Tuanku Syed Faizuddin Putra mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Putra, Kangar pada tahun 1974 sehingga 1979 sebelum bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar (1980 – 1982) dan Sekolah Menengah Penang Free, Pulau Pinang. Pada tahun 1984, baginda berpindah ke Carey Grammar School, Melbourne, Australia sebelum menyambung pengajian di La Trobe University, Melbourne, Australia dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (B. Ec.) pada tahun 1986 hingga tahun 1989. Pada tahun 2016, Baginda telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Sains Pengurusan daripada Yala Rajabath University, Thailand. Sebelum itu, Baginda juga pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Pendidikan (Honoris Causa) daripada La Trobe University pada tahun 2010.
Platform sebagai Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) digunakan sebaik mungkin oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra untuk memastikan program-program pendidikan dan pembangunan pelajar baik dari segi sahsiah dan akademik mahu pun kepimpinan diberikan fokus yang mendalam. Hasrat Baginda tentu sekali untuk melahirkan rakyat Perlis yang bermentaliti kelas pertama. Bukan setakat itu, YTSP turut berperanan untuk menjaga kebajikan golongan yang memerlukan sama ada dari segi sumbangan dan biasiswa pendidikan serta bantuan perubatan dan peralatan. Antara inisiatif terbaru yang diperkenalkan oleh Baginda adalah pengwujudan Tabung Simpanan Bayi Lahir Putra Petri, sumbangan khas untuk bayi yang dilahirkan di Perlis semasa tempoh Sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis. Manakala sebagai Penasihat Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pula, lontaran idea Baginda untuk memartabatkan kaum wanita serta memastikan kaum ini kekal cemerlang telah menyaksikan Program Kepimpinan Wanita terhasil di mana calon-calon yang dikenal pasti akan diberikan biasiswa untuk menjalani program kepimpinan di Josai International University, Jepun selama setahun. Di masa terluang, Baginda gemar untuk melawat negara-negara asing. Di kesempatan itu, Baginda akan memperkenalkan Perlis di negara luar menerusi Perlis Food Promotion. Rakyat Perlis amat bertuah kerana mempunyai seorang Raja Muda yang senantiasa ramah dan mudah didekati serta yang paling penting mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Dirgahayu Tuanku.

Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil
S.P.M.P. Honoris Causa In Health Sciences Universidad Nacional Pedro Henriquez Urena, Dr.
Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diputerikan pada 28 Mac 1970 di Hospital Besar Kuala Lumpur hasil perkahwinan Dato’ Khalil bin Akasah dengan Datin Nik Rahimah binti Wan Ahmad. Baginda merupakan puteri kedua daripada empat orang adik beradik perempuan.
Selepas mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur dari tahun 1977 hingga 1984, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil meneruskan persekolahan di Merton Hall-Melbourne Girls Grammar School, Melbourne, Australia sehingga tahun 1988. Baginda kemudiannya melanjutkan pengajian di La Trobe University, Melbourne, Australia pada tahun 1989 dalam jurusan Sains Kemanusiaan. Tidak terhenti setakat itu, Baginda mengambil inisiatif untuk meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sarjana Pentadbiran Awam sebelum menamatkan pengajian pada tahun 2014. Pada masa ini, Baginda dalam proses untuk menggenggam segulung Ijazah Falsafah Kedoktoran dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Terdahulu, Baginda pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat (Honoris Causa) dalam bidang Sains Kesihatan daripada Universidad Nacional Pedro Henriquez Urena, Republik Dominica. Baginda turut berpeluang menghadiri kursus asas Bahasa Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Jerman sebelum ini.
Teroka Lebih Lanjut
DYMM Tuanku Raja Perlis
Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diputerakan di Arau, Perlis pada 17 Mei 1943 merupakan anakanda kedua kepada Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Almarhumah Tuanku Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail. Baginda mempunyai salasilah keluarga yang berhubung dengan Nabi Muhammad SAW dari sebelah ayahanda baginda serta mempunyai darah keturunan Sultan Pattani dari sebelah bonda baginda.
Mengenai MAIPs
Pengurusan hal ehwal Islam di Perlis mempunyai sejarah yang mendalam, bermula sejak zaman pemerintahan Siam dan Inggeris. Penubuhan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) pada tahun 1920 oleh Almarhum Tuanku Syed Alwi Ibni Almarhum Syed Saffi Jamalullail merupakan langkah penting dalam perjalanan ini. Selepas Perlis menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, MAIPs distruktur semula untuk selari dengan pemerintahan negeri di bawah pimpinan Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis ke-6. Sejak itu, peranan MAlPs adalah untuk menegakkan ajaran Islam selaras dengan Perlembagaan Negeri, di mana kepimpinan Yang DiPertua memainkan peranan penting dalam kejayaannya, dari Allahyarham Haji Ahmad Bin Muhammad sehingga ke DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, dan kini, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin
Ahli Majlis
Ketahui dengan lebih mendalam tentang barisan kepimpinan tertinggi dan Ahli MAIPs.